Begitu pantas masa berlalu, rupanya
sudah setahun insan yang ternyata disayangi ramai iaitu Allahyarham Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat pergi meninggalkan kita.
Pemergiannya begitu dirasakan dan
meninggalkan kesan yang mendalam kepada setiap insan yang mengenali bekas
Mursyidul Am Pas itu di mana puluhan ribu hadir ke majlis pengebumian ulamak
terkenal ini.
Sehingga kini, tanah perkuburannya masih
menerima kunjungan ramai di mana rata-rata mereka mengagumi insan yang hebat
ini.
Pemergian Allahyarham turut dirasai oleh
anak saudaranya yang merupakan penceramah terkenal ustaz Ahmad Dusuki Abdul
Rani.
Beliau telah berkongsikan kenangannya
bersama Tuan Guru Nik Aziz kepada Sinar Harian di mana katanya, apa yang beliau
paling ingat sehingga hari ini ialah kata-kata nasihat daripada Tok Guru Nik
Abdul Aziz.
“Ketika ini saya paling rindu ialah
kata-kata nasihat beliau, yang tidak berhenti dalam menasihati keluarga ke arah
perjalanan menuju ke akhirat, kerana beliau (tok guru) seorang yang optimis
terhadap akhirat, maksudnya beliau dalam apa jua keadaan akan sentiasa bercakap
tentang akhirat, kehidupan ini beliau gambarkan dengan suasana akhirat.
“…sebab yang ini saya betul-betul terasa
kehilangan rasa terlampau rindu kepada nasihat dan ingatan-ingatan dan teguran
beliau,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian di Kompleks
Darul Thibbun Nabawi di Shah Alam di di sini hari ini.
Menurut Ustaz Ahmad Dasuki, arwah Tuan
Guru sentiasa bercakap tentang dakwah Islam dan perkembangan Islam di dunia ini
sehinggalah penghujung nyawanya.
“Pada akhir hayat beliau, tok guru masih
bertanya tentang perkembangan agama Islam dan penerimaan Islam terhadap
masyarakat bukan Islam, beliau begitu obses hendak lihat Islam berkembang,
hendak dunia terima Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Ahmad Dasuki
berkata, Nik Abdul Aziz seorang yang tegas dalam hidup dan bukan seorang yang
hidup dalam semberono.
“Kalau beliau marah, marah yang berasas,
contohnya ketika waktu solat, beliau sedang berjemaah tiba-tiba ada orang yang
tidak berjemaah buat ‘wirering’ kawasan masjid misalnya, lepas selesai solat
pasti tok guru akan marah orang tersebut, sebab baginya dia minta mereka
fokuskan waktu itu dengan ALLAH, jangan terlibat urusan lain, ini yang buat
beliau marah…sebab dia betul-betul jaga solat berjemaah,” ujarnya.
Selain itu, arwah Tuan Guru juga sangat
mementingkan nilai kekeluargaan dan pantang ada kenduri kendara keluarga,
beliau akan pergi walau sesibuk manapun.
“Dia akan pergi ziarah, kerana ingin
bersama keluarga,” katanya.
Ustaz Ahmad Dasuki turut mendedahkan satu
rahsia dimana tidak ramai orang tahu tentang insan hebat bernama Nik Abdul Aziz
ini.
“Beliau akan pergi ‘bersembunyi’ di
perkampungan Batu Balai di Jerantut, Pahang jika berhadapan dengan masalah
terutamanya ketika ingin ‘merehatkan diri’ buat seketika daripada buruan media
dan masalah politik yang melanda.
“Waktu paling saya ingat ialah ketika
tok guru ada krisis dahulu, beliau ke situ, untuk asingkan diri buat seketika,”
katanya.
Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz,
84, menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari 2015 lalu, di rumahnya di
Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan. – Siakapkeli.my
No comments:
Post a Comment