Friday, 6 April 2018

5 Hikmah dan Khasiat Ayat 1000 Dinar…No 1dan 2 Yang Menyebabkan Ramai Orang Mengamalkan Ayat Ini…



Sejarah Dinamakan 1000 Dinar‎

Pada zaman dahulu ada seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi Nabi Khidir. ‎Pedagang itu kemudian diperintahkan untuk bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. ‎Setelah tiga kali mengalami mimpi yang sama pedagang itu mula berfikir bahawa mimpi ‎yang beliau alami itu adalah benar. Pedagang itu pun ‎bersedekah wang sebanyak 1000 dinar, seperti yang diperintahkan. Setelah itu, sekali lagi pedagang tersebut ‎bermimpi bertemu Nabi Khidir. Lalu Nabi Khidir pun mengajarkanlah akan pedagang ‎itu ayat 2-3 surah at-Talaq untuk diamalkan. Lalu beramallah pedagang dengan ayat ‎berkenaan.‎

Sehinggalah pada suatu hari pedagang tersebut ingin pergi berdagang ke suatu tempat ‎yang lain dengan menggunakan jalan laut iaitu menaiki kapal. Di tengah pelayaran ia ‎dilanda angin taufan yang sangat dahsyat. Apa yang boleh dilakukan oleh pedagang itu ‎hanyalah bertawakkal pada Allah sambil terus menerus membaca akan ayat yang telah ‎diajarkan Nabi Khidir.

Akhirnya kapal yang beliau naiki pecah dipukul ombak, semua ‎penumpangnya kembali ke alam baqa kecuali pedagang tersebut. Apabila telah reda ‎angin, beliau mendapati dirinya terdampar di tepi pantai sebuah ‎negeri bersama barang dagangannya yang tidak rosak walau sedikitpun. Sambil menadah ‎tangan mengucapkan syukur ke hadhrat Allah SWT, beliau sedar dan insaf akan kebesaran ayat ‎yang diamalkannya itu. Lalu padagang itu mengambil keputusan untuk tinggal di negeri ‎tersebut.‎

Tinggallah lelaki itu di negeri yang baru, berdagang dan berniaga dengan penduduk ‎negeri, disamping terus mengamalkan membaca ayat 2-3 surah at-Talaq, sehinggalah ‎beliau diangkat menjadi raja di negeri tersebut (rezeki yang tidak disangka-sangka). ‎Begitulah kisahnya, sehinggalah sekarang ini ayat yang diajar Nabi Khidir itu digelar ayat ‎‎1000 dinar.‎

Pendapat Ulama’

Memang kita tidak boleh menafikan kelebihan ayat 1000 dinar. Para ulama’ menganjurkan supaya mengamalkan ayat ini untuk memperolehi kejayaan atau keuntungan. Walaupun terdapat perselisihan dan tentangan dari para alim ulama’ akan kelebihan dan kesahihan sumbernya, kerana tidak ada dalil dari al-Quran atau hadis.

Begitu pun beramal dengan ayat-ayat Allah tidak akan merugikan sesiapa bahkan Allah SWT akan mengurniakannya dengan kelebihan yang banyak.

Apabila diperhatikan kepada makna setiap ayat, memang tepat dan benar bahawa ayat ini amat penting untuk diamalkan oleh setiap umat Islam, agar lebih tinggi kebergantungan seseorang itu kepada Allah SWT dalam setiap tindak tanduk dan perbuatan.

Ayat tersebut mengandungi dua pengajaran iaitu supaya kita bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah dalam semua urusan rezeki dan kebergantungan. Hanya Allah yang Maha Berkuasa menentukan rezeki dan jalan keluar dari sebarang masalah dalam hidup setiap hambaNya.‎ Jika keyakinan itu disematkan dihati dan fikiran maka sudah tentu Allahlah tempat penentu kesudahan.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikanya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

– (Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)

Amalan

Ramai yang menghafal ayat ini untuk dibaca dimasa-masa yang sesuai, seperti selepas solat dan ketika berdepan masalah. Tidak kurang juga peniaga menggantung atau menampalkan pelekat ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan mereka, dengan harapan perniagaan bertambah maju. Walaubagaimana pun jika sekadar menampalkan ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan, tapi solat tidak dikerjakan, amalan tidak jujur dalam perniagaan terus dibuat atau sebagainya, ini tidak bermakna kita mengamalkan ayat 1000 dinar.

Tujuan menampalkan pelekat itu hanyalah sebagai cara supaya kita selalu beringat untuk bertaqwa dan bertawakkal. Begitu juga kalau kita baca ayat ini beribu-ribu kali dalam sehari, sedangkan kita tidak bertaqwa dan bertawakkal, itu juga bukan cara yang betul mengamalkan ayat 1000 dinar.

Sebenarnya ayat seribu dinar adalah sebaik-baik doa untuk segala masalah. Walaupun begitu banyak doa-doa lain untuk perlindungan diri dari musibah dan ketika susah. Tetapi tidak ramai yang mampu menghafal banyak doa-doa yang khusus untuk sesuatu tujuan tersebut.

Sewaktu dalam kesusahan dan dalam keadaan darurat, ada kalanya kita terlupa, apakah doa yang hendak dibaca. Yang sebaik-baiknya ayat seribu dinar yang mudah dihafal dapat dibaca. Ayat seribu dinar merangkumi kesemuanya untuk mendapatkan rezeki yang banyak, melindungi diri dari bala dan musibah serta perlindungan dari syaitan, jin dan iblis.

Hikmah Ayat 1000 Dinar.


Sesiapa mengamalkan ayat ini Insya’Allah akan:‎

‎1. Memperoleh kemurahan rezeki yang tidak disangka-sangka.‎
‎2. Mendapat jalan keluar dari segala masalah dan kesulitan.‎
‎3. Mendapat perlindungan dari segala musibah dan bala bencana seperti peperangan, ‎kezaliman dan bencana alam.‎
‎4. Jika berperang Insya’Allah tidak akan cedera atau binasa kecuali telah sampai ajal.‎
‎5. Allah akan menunaikan segala hajat dan memberi kemudahan dalam setiap urusan.

Hikmat Dan Khasiat Ayat Seribu Dinar

‘Yang sakit akan sembuh, yang hitam akan putih, yang keruh akan jernih’.

1. Ayat ini jikalau diamalkan setiap kali lepas solat sebanyak 3 X, Insya’Allah akan beroleh seribu faedah.
2. Sesiapa yang beramal ayat ini Allah ta’ala akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut.
3. Jika dibacakan kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 X dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 X diberi minum, Insya’Allah si pesakit akan sembuh.
4. Jika mengalami masalah berat, seperti kesusahan kerana kezaliman orang-orang tamak, huru-hara dan peperangan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Negara. Beramallah selalu dengan ayat ini selepas solat fardhu, mudah-mudahan segala kesukaran mendapat perlindungan dari Allah Ta’ala.
5. Jika bertempur menentang musuh, tidak binasa disebabkan terbakar, tidak lut dengan pukulan besi dan tiada mudaratdari sebarang benda yang bahaya. Hendaklah mengamalkan ayat ini dan bertawakkal kepada Allah SWT.
1. Baca ayat ini sesudah solat lima waktu,
2. Baca ketika hendak tidur tiga kali,
3. Baca ayat ini ketika hendak keluar rumah sekurang-kurangnya tiga kali.

Selepas mengetahui hikmat ayat ini, eloklah diamal, dihafal dan difahamkan maknanya sekali sebagai bekalan kita ketika menghadapi segala kesusahan dan kesengsaraan yang tidak kita jangkakan di masa mendatang.
amin ya Rabb.. semoga bermanfaat untuk kita amalkan


No comments:

Post a Comment

HUKUM MENDENGAR & BERMAIN MUZIK

Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya Seperti mana isu ijtihad, pertama sekali kita perlu lihat perkara apakah yang boleh wujud ijtihad di...