Zikir ialah ibadat paling ringan tetapi
amat berat timbangan pahalanya. Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan
muslim lupa melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.
Pengarang kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan
tentang seorang ahli ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong
daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma. Ahli ibadah itu
merasa hairan kerana tidak ada seekor burungpun yang mempunyai sarang di situ.
Beliau berkata: “Saya memanjat pokok itu, saya melihat di sana ada seekor ular
yang buta matanya. Setiap kali burung itu mendekatinya iapun bersuara lalu ular
itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan sepotong daging itu ke mulut ular
dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari.”
Kisah tersebut mengajar kepada kita
bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang boleh anda
berikan kepada orang lain. Manakala kehinaan itu adalah kerana mensia-siakan
potensi dan kekuatan jasmani dan rohani yang telah Allah SWT kurniakan kepada
kita. Sedangkan binatang bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang
sempurna. Tetapi manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang.
Binatang dan alam semesta semuanya berzikir kepada Allah SWT, tetapi manusia
sibuk melupakan Allah SWT.
Allah SWT berfirman menyeru kepada
orang-orang yang mengaku beriman yang maksudnya:”Bekerjalah kamu, nescaya Allah
dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu
akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang
nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah
al-Taubah Ayat 105)
Bekerja adalah ibadat. Bahkan nafkah
yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi
sifat malas sering timbul sewaktu melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam
kehidupan para pekerja yang beriman. Di manakah kelemahannya hingga semangat
bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi kendur?
Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Jika datang hari kiamat
dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia
mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan
Ahmad)
Semangat kerja Nabi Allah Idris AS patut
dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil
usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang
maksudnya:“Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke
tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami
mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris
menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari
amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana
kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “Kepada-Nyalah naik
perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)
Demikianlah keutamaan Nabi Idris AS
kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang
empat diucapkan iaitu; Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa
Allahu Akbar. Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat
timbangannya di sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya
semata-mata kerana keredaan Allah.
Zikir adalah amalan yang paling mudah
dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah
dalam kitab agungnya, Majmu’ al-Fatawa menyatakan; Amalan yang paling utama
selepas amalan yang fardhu adalah zikrullah. Dalam hadis sahih riwayat al-Imam
Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku tunjukkan
amalan yang paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik
daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal leher mereka dan
mereka juga memenggal leher-lehermu? Para sahabat menjawab: Tentu wahai
Rasulullah. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”
Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia
tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat.
Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh
dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.
Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan:
“Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan
nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir
kepada Allah.”
Rasulullah SAW adalah seorang manusia
yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya.
Baginda adalah seorang Ketua Negara yang amanah, Mahaguru yang dihormati, pakar
motivasi, Jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat, ketua rumah
tangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah yang penyayang, saudara
lelaki yang penyantun. Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan
mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Begitu
juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah,
pastikanlah ianya tidak terhenti kecuali kedua kaki ini telah sampai di pintu
kenikmatan tertinggi, syurga yang abadi!
No comments:
Post a Comment