Menanggung hutang yang banyak adalah
satu beban yang berat. Diri menjadi seperti seorang hamba yang kehilangan
kebebasan.
Buat apa sahaja termasuk sedang
beribadah pun teringatkan hutang. Tidur tidak dapat merehatkan tubuh dan minda
kerana sering terjaga dalam keadaan takut dan bimbang.
Alangkah baiknya jika siang tiada kerana
susahnya hati hendak berdepan dengan manusia. Begitulah keadaan orang yang
berhutang. Hatinya tidak tenang. Lebih dibimbangi jika hutang masih tidak lunas
semasa ajal menjemput.
Lalu, sekuat hati berharap masalah
hutang dapat diselesaikan. Pelengkap membayar hutang sudah tentulah dengan
kemurahan rezeki. Setiap masa berharap Allah memurahkan rezeki. Maka, berikut
adalah beberapa langkah untuk melunasi hutang dan memurahkan rezeki.
#1 – Doa
Perkara pertama ialah berdoa. Minta
kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar hutang yang ada mudah untuk
diselesaikan. Bacalah doa setiap kali selepas solat.
Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya
(maksud):
“Rasulullah SAW telah memasuki masjid.
Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana.
beliau bertanya:
“Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat
kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan waktu solat?”
Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan
hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”
Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku
ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa
dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.”
Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai
Rasulullah.”
Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada
tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung
kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari
sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan
penindasan manusia.”
Abu Umamah r.a berkata:
“Setelah membaca doa tersebut, Allah
menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”
Dalam kisah yang lain, daripada Ali r.a
bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata:
“Sesungguhnya aku tidak mampu untuk
melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara
hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku!
Maka Saidina Ali ra berkata: “Mahukah
kamu aku ajarkan kepadamu dia yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka,
(iaitu) jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, Allah akan selesaikannya
untuk kamu?
Saidina Ali berkata: “Katakanlah:
Maksudnya:
“Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang
halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan
kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selainMu.”(Riwayat al-Tirmizi)
#2 – Mengerjakan Solat-Solat Sunat
Solat-solat sunat merupakan solat
tambahan kepada solat fardhu kita. Ia bukan sahaja dilakukan oleh Rasulullah,
malah orang-orang soleh juga melakukan amalan yang sama. Selain kebaikan di
dunia, solat sunat amat penting untuk memberi kebaikan di akhirat kelak. Antara
solat sunat yang dianjurkan ialah solat tahajud dan solat sunat dhuha.
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya pada waktu malam, terdapat
satu waktu tiadalah hamba yang Muslim membetulinya dengan berdoa meminta
kebaikan kepada Allah kecuali dikurniakan kepadanya yang demikian itu setiap
malam.”(Riwayat Ahmad)
Hadis riwayat Abu Dzar bahawa Nabi SAW
bersabda (maksudnya):
“Setiap tulang sendi seseorang menjelang
pagi memerlukan sedekah. Untuk itu, setiap tasbih itu adalah sedekah, tiap-tiap
tahmid adalah sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir
adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah. Semua perbuatan itu sama
nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.”
#3 – Mengelakkan Diri Daripada Mencipta
Hutang Baru
Jika mahu melangsaikan hutang yang ada,
prinsipnya adalah dengan tidak mencipta atau menambah hutang baru. Ini untuk
memudahkan hutang yang lama diselesaikan dan tidak menambah beban baru kepada
diri anda.
Selain itu, pastikan perbelanjaan anda
tidak melebihi pendapatan anda. Ada kehendak yang tidak perlu dituruti. Buat
satu bajet atau senarai perbelanjaan. Letak satu jumlah untuk pembayaran semula
hutang anda selama tempoh tertentu dan konsisten dalam pembayaran.
Bincang pengurusan pembayaran hutang
anda dengan pihak yang memberi hutang sekiranya anda mengalami masalah
pembayaran.
#4 – Berusaha Mencari Rezeki Yang Halal
Doa perlu seiring dengan usaha anda
dalam mencari rezeki. Cari rezeki yang halal untuk membayar hutang anda dan
untuk menampung keperluan anda sekeluarga.
Usah terpedaya dengan kekayaan yang
datang dari sumber yang diragui, diperolehi dengan jalan menipu dan menganiaya,
atau dengan jelas adalah haram.
Walaupun anda benar-benar memerlukan
wang, itu tidak bermakna anda harus mengikuti jalan yang dibenci Allah. Ini
kerana, keberkatan rezeki adalah lebih penting berbanding memilkinya.
Rezeki yang tidak halal memberi kesan
bukan sahaja kepada diri yang semakin jauh daripada Allah, hilang ketenangan,
asyik berasa kurang, malah meragut keharmonian keluarga.
#4 – Memperbanyakkan Kebaikan
Jagalah dan berbuat baiklah kepada ibu
bapa. Besar pahala melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Begitu juga dengan
meringankan tulang membantu mereka yang memerlukan.
Mungkin ada jiran yang memerlukan
bantuan anda untuk memperbaiki alatan di rumahnya yang rosak, seorang lelaki
buta yang hendak melintasi jalan, membuang tin minuman yang dibuang di tepi
jalan, atau kanak-kanak yang terjatuh semasa menunggang basikal.
Apabila anda ke masjid, masukkan sedikit
wang ke dalam tabung masjid sebagai sedekah. Berilah walaupun sedikit kerana
yang sedikit itu besar nilainya bagi mereka yang memerlukan dan besar maknanya
untuk usaha dakwah. Jadilah manusia yang baik pada pandangan Allah SWT.
#5 – Menambah Istighfar Dan Zikir
Tiada manusia yang lepas daripada
kesilapan. Namun, itu tidak bermakna tiada pengampunan daripada Allah. Malah,
Allah amat luas pintu keampunannya untuk umatNya yang melakukan kesilapan dan
dosa. Kita tidak mahu jarak kita dengan Allah menjadi jauh kerana dosa itu.
Dosa menyesakkan dada dan menyempitkan
hidup. Oleh itu, perbanyakkanlah istighfar dan memuji Allah dengan zikir. Zikir
paling mudah ialah ‘subhanallah’, ‘alhamdulillah’, dan ‘Allahu akhbar.’
Selain itu, bacalah Al-Quran
sebaik-baiknya setiap kali selepas solat. Bukan sahaja kita memperolehi pahala,
malah diri akan berasa tenang dengan membaca kalimah Allah SWT.
(Sumber: tazkirah.net oleh Anas)
No comments:
Post a Comment