1.
Pernahkah kita terfikir kenapakah salah satu dari rukun solat itu ialah
sujud. Mungkin ramai yang tidak mengetahui. Jika pun kita tidak mengetahuinya
tetapi semua yakin dan percaya bahawa setiap apa jua yang diperintahkan oleh
Allah SWT wajib akan ada kebaikannya untuk manusia. Lihat firman-firman Allah SWT berikut:
1.1.
Dalam Surah Al-Ankabut[Labah-Labah](29:45) Allah berfirman yang
berbunyi:
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad)
akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang
(dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji
dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya
dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
1.2.
Dalam Surah As-Sajadah[Sujud](32:15) pula Allah berfirman yang berbunyi:
“Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman
kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi
peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri
sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih
serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.”
1.3.
Dalam Surah An-Nahl[Lebah](16:49) Allah berfirman yang berbunyi:
“Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa
yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak
serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong
takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya).”
2.
Lihat pula apakah sabda Rasulullah SAW tentang sujud ini:
2.1."Daripada Ibnu Umar RadhiAllahu
Anhu, katanya: Adalah Rasullullah SAW membaca ia(ayat sejadah) sedangkan kami
berada disisinya, lalu Baginda sujud dan kami pun turut sujud bersamanya, maka
bersesak-sesaklah kami sehingga tidak mendapat tempat bagi meletakkan dahi
untuk sujud". (Hadis Riwayat Bukhari).
2.2. “Hendaklah kamu bersujud kepada
Allah kerana sungguh tiada sekali engkau bersujud melainkan dengannya Allah
mengangkat satu darjat dan menghapuskan satu dosa (kesalahan) darimu”. (Hadis
Riwayat Muslim)
2.3. "Daripada Abi Bakrah R.A.
katanya; Rasulullah S.A.W apabila mendapat sesuatu perkara yang
mengembirakannya lantas ia turun sujud (sujud syukur) kerana Allah SWT".
2.4. Seorang sahabat Rasulullah SAW
iaitu Huzaifah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tiadalah keadaan seorang hamba yang
paling disukai oleh Allah daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan
bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah (tunduk, pasrah dan rasa hina
seorang hamba kepada Allah)”. (Hadis Riwayat Imam Al-Tabrani).
3.
Segala rukun di dalam solat yang melibatkan qalbi (naluri), qauli
(lisan) dan fi’li (perbuatan) mempunyai pengertian dan maksud di sisi Allah
SWT. Segala pergerakan di dalam solat sebenarnya penuh dengan hikmah dan
pendidikan. Perbuatan atau rukun yang paling disukai oleh Allah dalam solat
ialah sujud. Sujud adalah waktu di mana
seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Pergerakan sujud itu secara
lahirnya telah menunjukkan rasa merendah dan menghina diri seseorang hamba dihadapan
Penciptanya di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa
“Ya Allah hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan
hanya padaMu sahajalah tempat aku berserah dan memohon pertolongan”.
4.
Di dalam perlakuan sujud itu ada simbolik dan hikmah yang harus
difahami. Semasa sujudlah tujuh anggota badan kita menyentuh lantai/bumi, iaitu
dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan dua jari kaki. Pada ketika inilah setiap orang yang solat
akan dapat merasakan betapa kerdil dan hina dirinya dihadapan Allah SWT
sehingga dia terpakas meletakkan kepalanya yang mulia itu ditempat yang paling
rendah hanya semata-mata kerana Allah SWT.
Jika tidak kerana Allah manusia tidak akan sanggup menghinakan diri
sebegitu rupa.
5.
Sujud ke lantai/tanah memberi pengertian bahawa asal usul manusia adalah
dari tanah. Ia akan mengingatkan kita bahawa satu hari nanti tanah yang
dijadikan tempat sujud inilah kita akan dikembalikan oleh Allah. Justeru setiap
kali sujud sewajarnya kita sentiasa mengingati akan saat kematian. Apabila kita mengingati mati maka terasa
seolah-olah bahawa solat kali ini adalah solat penghabisan dalam hidup kita.
Jika ada perasaan ini maka hati akan merasa takut kepada Allah dan dapat
merasai akan kebesaran Allah SWT.
6.
Sujud bukan sahaja boleh mendekatkan diri kita dengan Allah SWT tetapi
dari sudut perubatan pun ada hikmah dan kebaikannya. Antaranya ialah:-
6.1. Otak manusia yang merupakan organ
terpenting akan menerima banyak bekalan oksigen dalam darah. Posisi jantung di
atas otak menyebabkan darah yang mengandungi oksigen boleh mengalir dengan
lancar ke otak. Bekalan oksigen yang mencukupi boleh mempengaruhi daya berfikir
seseorang yang menjadi lebih cerdik. Oleh itu, lakukan sujud dengan tuma'ninah,
jangan tergesa gesa agar darah yang cukup boleh sampai ke otak.
6.2. Menghindarkan gangguan buasir. Bagi
kaum wanita khususnya, rukuk mahupun sujud memberi manfaat besar untuk
kesuburan dan kesihatan organ kewanitaan.
6.3.
Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan.
6.4.
Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
6.5.
Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
6.6.
Melegakan sakit hernia.
6.7.
Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
6.8.
Mengurangkan kesakitan pada apendiks atau limpa.
6.9.
Meringankan bahagian pelvis.
6.10. Menggerakkan otot bahu, dada,
leher, perut, punggung ketika akan sujud. Gerakan otot-otot ini menjadikannya
lebih kuat dan elastic bagi memastikan kelancaran darah.
6.11. Bagi wanita gerakan otot ini
menjadikan buah dadanya lebih baik dan mudah berfungsi untuk menyusukan bayi.
6.12. Gerakan bahagian otot memudahkan
wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal .
6.13. Mengurangkan kegemukan.
6.14. Mengelakkan pening kepala ataupun
migrain
6.15.Kedudukan sujud paling baik untuk
berehat dan mengimbangkan anggota bahagian belakang badan.
7.
Simbolik kepada sujud dalam solat ini ialah kita wajib juga sujud kepada
Allah SWT walaupun diluar solat. Jika
dalam solat sujud dan patuh kepada arahan Allah maka diluar solat juga wajib
sedemikian dengan mematuhi apa jua perintah dan larangan Allah. Jika ini
berlaku barulah sujud kita dalam solat itu benar-benar mendidik dan membentuk
peribadi si pelakunya.
“Orang yang bakhil itu tidak akan
terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu : Dia
akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada
tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim
atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk
kejahatan pula atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan untuk
jalan yang membazir dan sia-sia.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyidiq
No comments:
Post a Comment