بِسْمِ
اللهِ الرَّحْمـٰنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha
Mengasihani.
يَـٰٓأَيُّہَا
ٱلۡمُزَّمِّلُ
Wahai orang yang berselimut!.
قُمِ
ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلاً۬
Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam,
selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
نِّصۡفَهُ
ۥۤ أَوِ ٱنقُصۡ مِنۡهُ قَلِيلاً
Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan
sedikit dari separuh itu,
أَوۡ
زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلاً
Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah
Al-Quran dengan “Tartil”.
إِنَّا
سَنُلۡقِى عَلَيۡكَ قَوۡلاً۬ ثَقِيلاً
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu
membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu,
kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang
mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia
menyempurnakannya).
إِنَّ
نَاشِئَةَ ٱلَّيۡلِ هِىَ أَشَدُّ وَطۡـًٔ۬ا وَأَقۡوَمُ قِيلاً
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat
kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.
Al-Muzammil:1-6
Saya kira masih ramai antara kita yang tahu mengenai
kelebihan solat Tahajjud tapi masih ‘bercinta’ dengan gebar selesa di dini hari
yang sepi. Susah betul mahu bangun pagi-pagi buta itu, bukan? Tahu dan mahu
tapi belum mampu berpisah dengan tilam dan selimut. Apatah lagi saat orang lain
lena dibuai mimpi. Sayang betul mahu korbankan waktu tidur itu, iya tak?
Alangkah Subuh ditangguh-tangguh, inikan pula mahu
bangun Tahajjud!
Saya ingin berkongsi secangkir nasihat dari tokoh
ulama bertaraf wali, Tuan Guru Nik Abdul Aziz (lebih mesra dipanggil Tok Guru)
mengenai solat Tahajjud.
Dalam satu kuliah Jumaatnya seperti biasa. Dalam
Dewan Zulkifli itu saya menadah hati untuk dicurahkan permata hikmah. Waktu itu
saya masih di sekolah menengah.
Tok Guru berkata, “Kalau kita terjaga di
tengah-tengah malam itu, ia sebenarnya satu anugerah dari Allah. Allah kirimkan
malaikatNya mengejutkan kita supaya kita bangun beribadah kepada Allah. Sebagai
tanda terima kasih kerana mengejutkan kita, paling malas pun, mintalah apa-apa
(berdoa) walau sedikit (meskipun kita masih di tempat tidur) kepada Allah.
Kemudian tidurlah.
Kalau kita sedar, kemudian kita terus sambung tidur
tanpa ucapkan apa-apa (contoh beristighfar, bertahmid dan sebagainya). Kemudian
malam kedua dan malam ketiga pun begitu juga. Kita bimbang malaikat tidak akan
datang lagi mengejutkan kita.”
Selepas saya mengetahui hal itu, saya berusaha
mengamalkan apa yang Tok Guru pesan. Rasa malu pada Allah bila terjaga
pagi-pagi buta, Allah sedang tunggu permintaan kita untuk dikabulkan tapi kita
menyombongkan diri dengan memejam rapat mata kita.
Begitulah saya lakukan bertahun-tahun sepanjang
sekolah menengah itu. Jarang-jarang sekali, saya bangun untuk solat. Maklumlah,
ruang bilik air di rumah orang tua saya ialah telaga yang beratapkan langit.
Walaupun berdinding simen dan bersambung dengan dapur, saya jenis penakut.
Kalau terdesak pun, saya akan kejutkan sesiapa untuk temankan. Nasib baik adik
beradik ramai.
Macam-macam jugalah yang saya minta tapi
pendek-pendek sahaja. Paling kurang, saya mohon ampun dan minta Allah sedarkan
lagi saya malam berikutnya. Saya bimbang kehilangan anugerah agung itu.
Anugerah yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad sebelum terfardunya solat 5
waktu.
Suweileh, Amman, Jordan
Tahun pertama di Jordan, saya masih liat bangun
Tahajjud walaupun bab solat fardu, saya segera menunaikannya sebaik masuk waktu
kecuali ada rukhsah syar’ie. Pesanan Hassan al-Banna itu dapat pula saya
lunasi, alhamdulillah. Saya istiqamah dengan nasihat Tok Guru sebelum ini. Doa
sahaja dalam selimut. Apalah pandangan Allah pada saya…!
Takdir Allah, seorang teman serumah yang baru saya
kenali dan tinggal sebilik pula suka bangun Tahajjud. Bukan sekali sekala,
tetapi setiap malam kecuali datang bulan. Saya tahulah dia bangun Tahajjud
setiap malam sebab saya pun terjaga setiap malam juga, alhamdulillah. Masa-masa
tertentu ada juga yang tidak sedar. Teman saya itulah yang kejutkan saya agar
bangun Tahajjud.
Dalam diam saya kagumi dia tapi opss… teman saya itu
sedar hanya dia yang bangun malam. 3 orang lagi rakan serumah membuta sahaja
kerjanya. Jarang-jarang gagahkan diri untuk Tahajjud. Dia paling muda di antara
kami berempat. Suatu hari, dia membebel pada kami menyebut tentang kepentingan
Tahajjud.
Hmm…patutlah dia kelihatan biasa sahaja dengan
Tahajjud, rupa-rupanya ahli keluarganya dilatih sejak kecil untuk bertahajjud.
Bapanya salah seorang ulama di Perak (sekarang Allahyarham). Banyak didikan
yang baik dari keluarganya dikongsikan dengan kami.
Sejak kena bebel itulah, saya mula rajin bangun
malam. Itu pun banyak juga ’last minute’- menunggu saat azan Subuh
dikumandangkan. Apa pun, syukur kepada Allah yang mengurniakan teman yang baik
dan ikhlas. Khasiat Tahajjud ini memang besar.
Kita sambung lain kali pula ya berkenaan khasiat
Tahajjud. Buku-buku pun ada yang cerita tentang Tahajjud dan kelebihannya.
Bolehlah baca.
Akhir kata, memang benar apa yang Tok Guru pesan
sebelum ini. Hargailah waktu sedar di tengah malam dengan memohon kepada Allah
walau sedikit. Insya Allah, lama kelamaan, kita akan ada kekuatan untuk
menunaikan Tahajjud.
Kredit to : sayangislam.com
No comments:
Post a Comment