Ramadhan Semakin Hampir!!Rupanya Ini Hukum Jika Kita
Tidak Mengganti Puasa Ramadhan Hingga Ramadhan Seterusnya…Bacalah Sekiranya
Belum Tahu
Soalan:
Saya telah meninggalkan puasa selama beberapa hari
pada bulan Ramadhan disebabkan keuzuran, dan saya tidak mampu qadha’ puasa
hari-hari yang ditinggalkan tersebut sehingga tiba bulan Ramadhan pada tahun
berikutnya. Adakah saya dikenakan kaffarah disebabkan kelewatan qadha’ puasa
tersebut? Adakah saya perlu qadha’ puasa hari-hari yang ditinggalkan secara
berturut-turut atau dibolehkan secara berselang-selang hari?
Jawapan:
Jumhur ulama’ mewajibkan bayaran fidyah kepada
sesiapa yang terlewat qadha’ (menggantikan) puasa yang ditinggalkan pada bulan
Ramadhan sehingga tibanya bulan Ramadhan pada tahun yang berikutnya. Bayaran
fidyah adalah dengan memberi makan (mengikut kadar makanan harian) kepada orang
miskin yang mencukupi makan tengah hari dan makan malam sekiranya kelewatan
puasa qadha’ bukanlah disebabkan apa-apa keuzuran. Ulama’ berhujah mengunakan
hadis mauquf yang disandarkan kepada Abu Hurairah, yang merupakan lafaz beliau,
menisbahkannya kepada Rasulullah adalah dhaif. Hadis ini diriwayatkan oleh enam
orang sahabat termasuk Ibnu Abbas dan Ibnu Umar dan tidak pernah diketahui
bahawa Yahya ibn Aksam menyalahi pandangan mereka.
Abu Hanifah dan yang sependapat dengan beliau
menyatakan: Seseorang tidak dikenakan fidyah dan qadha’ puasa secara serentak.
Hal ini disebabkan Allah telah memberikan keringanan kepada golongan pesakit
dan musafir melalui firmannya, “maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari
yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain” tanpa menyebut tentang fidyah.
Berdasarkan ayat al Quran ini, jelaslah bukannya satu tuntutan untuk membayar
fidyah bagi golongan uzur dan musafir yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan.
Berkenaan hadis yang memerintahkan kewajipan membayar fidyah bagi dua golongan
(orang sakit dan musafir) adalah dhaif dan tidak diambil kira.
Dan berkata al-Syaukani di dalam kitabnya Nail
Al-Autar (jilid 4, muka surat 318): Tiada satu pun hadis yang tsabit mengenai
suruhan Nabi untuk membayar fidyah dan qadha’ puasa secara serentak bagi
golongan pesakit dan musafir yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan, dan
kata-kata sahabat mengenai hal ini juga tidak mempunyai hujjah. Kata-kata
jumhur mengenai hal ini juga tidaklah menunjukkan hukum itu benar. Hal ini
berdasarkan kepada konsep tiada hukum semulajadi (البراءة الاصلية). Sesuatu
taklif (ibadah) adalah tidak wajib sehingga ada dalil yang mensyariatkannya”.
Justeru, dalam hal ini, tiada sebarang dalil yang menunjukkan kewajibannya
Dan berkata al- Syafie: Jika kelewatan menggantikan
puasa Ramadhan berlaku disebabkan keuzuran (keuzuran syar’ie), maka tiada
fidyah dikenakan. Adapun kelewatan tanpa sebarang keuzuran, maka individu wajib
membayar fidyah. Pendapat ini telah mengambil jalan tengah antara dua pendapat
yang telah dibincangkan. Namun hadith dhaif dan mauquf yang menyatakan
pensyariatan kaffarah tidak pula membezakan antara wujudnya keuzuran atau pun
tidak ada sebarang keuzuran.
Pendapat al-Syafie lebih disenangi kerana ia
meraikan perbezaan pendapat dalam hal ini. Tambahan pula, puasa ganti Ramadhan
merupakan perkara wajib yang boleh dilakukan secara bertangguh (واجب على التراخي)
dan bukannya secara segera. Walau bagaimanapun, menyegerakan ganti puasa adalah
lebih baik sekiranya mampu kerana ia merupakan hutang antara hamba dengan Allah
swt. yang lebih utama untuk dilangsaikan. Telah thabit dalam sahih Muslim dan
musnad Ahmad bahawa Aishah r.aha telah menggantikan puasanya yang tertinggal di
sepanjang bulan Ramadhan itu pada bulan Sya’ban. Ini menunjukkan Aishah r.ha
tidak menggantikan puasanya secara segera.
Tidak disyaratkan dalam menggantikan puasa Ramadhan
untuk melakukannya secara terus-menerus dan berturutan. Telah diriwayatkan oleh
Darul Qutni daripada Ibnu Umar r.a. bahawa nabi s.a.w. bersabda mengenai qadha
puasa Ramadhan: “ان شاء فرق وان شاء تابع “ yang maksudnya, “jika mahu gantilah
(puasa Ramadhan) secara berpisah-pisah, dan jika mahu gantilah (puasa Ramadhan)
secara berturutan”.
Video Ustaz Azhar Idrus – Niat Qada’ Puasa Fardhu
Sumber : Fatwa ‘Atiyyah Saqr (Kitab ahsan al-Kalam
fi al-Fatawa wa al-Ahkam, Jilid 3, muka surat 445
No comments:
Post a Comment